Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menyerap peningkatan aliran perdagangan yang dialihkan melalui Selat Melaka sekiranya pengendali perkapalan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan ketegangan di Selat Hormuz yang terjejas konflik.
Kelebihan ini dipacu oleh kekuatan geostrategik Malaysia sebagai hab rantaian bekalan serantau, menurut Profesor Dr Nor Aida Abdul Rahman dari Universiti Kuala Lumpur.
“Namun, ia hanya menjadi kelebihan komersial sebenar apabila disokong oleh kecekapan operasi,” katanya kepada Bernama ketika mengulas kesan konflik Asia Barat terhadap industri rantaian bekalan negara.
Nor Aida yang juga Profesor Rantaian Bekalan dan Strategi/Pengurusan Penerbangan universiti berkenaan, berkata Pelan Induk Logistik dan Pemudahcaraan Perdagangan Kementerian Pengangkutan secara jelas meletakkan Malaysia sebagai “Gerbang Logistik Pilihan ke Asia”.
Menurutnya, kedudukan geografi tersebut perlu diterjemahkan kepada produktiviti lebih tinggi, kebolehpercayaan sistem serta pemudahcaraan perdagangan yang berkesan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategik di sepanjang selat bagi merealisasikan potensi sebagai hab rantaian bekalan serantau.
“Bagi memperkukuh kedudukan ini, Malaysia boleh terus menambah baik masa pusing ganti pelabuhan, melancarkan proses kastam serta memperkukuh integrasi antara zon perindustrian dan rangkaian logistik daratan.
“Jumlah rekod kontena yang dikendalikan oleh Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas menunjukkan Malaysia sudah mempunyai asas kapasiti yang kukuh serta kerelevanan dalam pasaran,” katanya.
Beliau berkata insentif seperti skim Kompleks Logistik Pintar oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menyokong pelaburan dalam pembangunan infrastruktur logistik yang lebih pintar dan cekap.
Selain berfungsi sebagai lokasi transit, Nor Aida berkata Malaysia berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pengedaran serantau, pusat pemenuhan (fulfilment centre) serta pangkalan logistik bernilai tambah.
Dengan kelebihan sedia ada, beliau berkata Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menyerap sebahagian pengalihan aliran perdagangan global, susulan kesiapsiagaan infrastruktur pelabuhan dan logistik negara.
Namun begitu, beliau menegaskan kelebihan itu perlu disokong oleh penambahbaikan berterusan merangkumi keseluruhan ekosistem logistik.
Antara aspek utama ialah integrasi digital, penyelarasan lebih kukuh antara pelabuhan dan kawasan hinterland serta pengurangan tempoh pemprosesan bagi memastikan kapasiti fizikal dapat diterjemahkan kepada keupayaan operasi yang sebenar.
Beliau berkata Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas terus mencatat jumlah kontena yang tinggi, manakala data rasmi Lembaga Pelabuhan Klang menunjukkan kapasiti terminal serta kemudahan sokongan yang kukuh bagi operasi kontena.
“Ini menunjukkan Malaysia tidak bermula daripada kedudukan yang lemah dari segi keupayaan pelabuhan utama. Namun, keupayaan menyerap perdagangan tambahan tidak hanya bergantung kepada pelabuhan semata-mata.
“Ia turut bergantung kepada kecekapan pengangkutan daratan, ketersediaan gudang, aliran kastam, penyelarasan operator serta kesalinghubungan digital antara agensi dan pemain industri,” katanya.
Dalam senario lonjakan mendadak, tekanan boleh beralih daripada pelabuhan kepada pergerakan hinterland atau proses pelepasan kargo sekiranya penyelarasan tidak cukup pantas dan responsif, tambahnya.
Sementara itu, penganalisis geostrategik Malaysia, Profesor Dr Azmi Hassan berkata pergolakan di Selat Hormuz telah kembali menonjolkan kepentingan laluan sempit strategik dunia serta menyerlahkan kestabilan laluan perairan Asia Tenggara.
Beliau berkata Malaysia bersama negara pesisir Selat Melaka termasuk Indonesia dan Singapura secara konsisten mengekalkan prinsip memastikan laluan maritim utama kekal terbuka dan bebas daripada pengaruh geopolitik.
Azmi berkata perkembangan positif bagi kebebasan laluan pelayaran ialah negara-negara ASEAN tidak pernah menjadikan laluan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan sebagai alat geopolitik, berbeza dengan ketegangan di Selat Hormuz.
Walaupun Laut China Selatan merupakan kawasan sensitif dengan persaingan kuasa besar, laluan itu kekal terbuka kepada navigasi antarabangsa, mencerminkan komitmen rantau ini terhadap kelancaran perdagangan global.
“Begitu juga Selat Melaka, walaupun sempit dan sangat sibuk, ia tidak pernah digunakan oleh Malaysia atau Indonesia sebagai instrumen geopolitik,” katanya.
-- BERNAMA