Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 26 April (Bernama) -- Lawatan singkat Menteri Luar China Wang Yi ke tiga ibu negara Asia Tenggara minggu lepas mencerminkan lebih sekadar diplomasi rutin.
Mesej Beijing di Phnom Penh, Bangkok dan Nay Pyi Taw adalah jelas. China mahukan kestabilan, perpaduan dan kerjasama serantau di semua peringkat.
Pertikaian sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan dan kemelut politik dalaman Myanmar seharusnya tidak melarat dan memerlukan perhatian segera.
Membiarkan isu-isu ini berpanjangan boleh memberi kesan serantau yang meluas, yang berpotensi mencetuskan krisis kemanusiaan serta ketidakamanan.
Dengan dinamik geopolitik dan geoekonomi yang tidak menentu, kestabilan ASEAN adalah sangat penting ketika ini.
Kebimbangan China boleh difahami, memandangkan ASEAN ialah rakan dagangan serantau terbesarnya, dengan ramalan perdagangan dua hala mencecah AS$1 trilion (hampir RM4 trilion) tahun lepas.
“Pencapaian peringkat tinggi ini mengukuhkan Asia Tenggara sebagai asas kepada wawasan diplomatik China, memupuk kepercayaan strategik yang lebih mendalam,” kata Ketua Pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Kemboja Dr Kin Phea kepada Bernama.
"Lawatan Wang Yi menyerlahkan komitmen China yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi rakan kongsi yang proaktif dan boleh dipercayai demi kemakmuran serantau."
Di Phnom Penh, Wang menyertai dialog strategik 2+2 China-Kemboja yang julung kali diadakan pada Rabu lepas, melibatkan menteri luar dan pertahanan.
Perbincangan tertumpu pada isu politik, keselamatan, ekonomi, serantau dan antarabangsa, dan mereka mengesahkan semula persahabatan erat mereka yang telah lama terjalin.
Di Bangkok, Wang dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnviraku mengukuhkan hubungan dua hala mereka selama lima dekad, menangani jenayah transnasional dan siber, yang memudaratkan keselamatan dan keamanan serantau.
Ketibaan Wang di kedua-dua ibu negara itu dilihat sebagai langkah penting untuk memecahkan kebuntuan antara Kemboja dan Thailand sejak konfrontasi tentera 24 Julai, yang dicetuskan oleh pertikaian wilayah berdekad lamanya.
Kira-kira 300,000 orang yang tinggal di kawasan sempadan telah kehilangan tempat tinggal di kedua-dua belah pihak dan ada yang kehilangan nyawa.
Penyambungan semula hubungan diplomatik akan membawa banyak manfaat, Pembukaan sempadan darat akan membuka jalan kepada lebih banyak perdagangan dua hala, meredakan ketegangan sempadan, merangsang pelancongan dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat.
Semasa pertemuan Wang dengan Presiden yang baru dipilih Min Aung Hlaing di Nay Pyi Taw pada Sabtu, mereka berikrar untuk mengekalkan "Pauk-Phaw" atau persahabatan persaudaraan mereka.
Mengekalkan kestabilan sempadan, projek Koridor Ekonomi Myanmar-China, mengukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga, mengembangkan perdagangan dan pelaburan serta memerangi jenayah siber menjadi agenda utama mereka, lapor China Daily.
Bagaimanapun status pemimpin awam yang dipenjarakan dan sedang sakit, Aung San Suu Kyi, 80, masih tidak jelas.
Minggu lepas, aktiviti diplomatik giat dijalankan di rantau ini. .
Diplomat kanan saling mengadakan lawatan untuk memupuk perpaduan susulan cabaran yang kian meningkat, daripada lonjakan kos bahan api kepada gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan di Selat Hormuz.
Setiausaha Luar Filipina Theresa Lazaro, menghadiri dialog dasar di Jakarta pada 23 April, menekankan kepentingan pemusatan ASEAN dan menggalakkan kestabilan serantau.
Filipina kini mempengerusikan ASEAN. Semasa pertemuan dengan Menteri Luar Indonesia Sugiono, Manila dan Jakarta bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam pertahanan, pengurusan sempadan, hal ehwal maritim dan penggunaan mata wang tempatan untuk transaksi rentas sempadan, menurut laporan media.
Menerusi pelbagai diplomatik minggu lepas, dari Jakarta ke Bangkok, para diplomat mahukan keamanan sempadan, aliran perdagangan tanpa gangguan dan perpaduan dalam kalangan negara jiran.
Ekonomi ASEAN, terutamanya masyarakat luar bandar, berdepan kesukaran akibat konflik Asia Barat yang berterusan, kerana kebanyakan import bahan api dan baja mahal mereka datang dari rantau Teluk.
Dengan tekanan inflasi yang boleh dilihat dalam sektor pertanian, pengangkutan serta makanan dan minuman, pakar-pakar memberi amaran tentang risiko kepada keselamatan makanan dan tenaga rantau ini.
“Kestabilan dan perpaduan ASEAN ialah aset yang sangat diperlukan untuk mengemudi landskap global yang kompleks hari ini, dan China kekal sebagai penyokong tegar peranan utama ASEAN.
“ASEAN menyediakan platform inklusif penting yang memperkasakan negara serantau untuk mengurus cabaran kolektif, daripada memastikan keselamatan makanan dan tenaga kepada memacu pertumbuhan yang mampan dan inovatif,” kata Kin.
-- BERNAMA