Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Aktiviti jualan di saat-saat akhir mengheret Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir urus niaga Isnin, sekali gus melenyapkan peningkatan yang dicatatkan sepanjang sesi dagangan sebelumnya hari ini.
Keadaan itu didorong tindakan pelabur yang beralih kepada strategi menumpukan segmen saham bermodal kecil dan sederhana, terutama syarikat berasaskan domestik dengan prospek pendapatan yang lebih cerah.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.07 mata atau 0.17 peratus untuk ditutup pada paras rendah harian 1,717.27 berbanding penutupan Jumaat lepas pada 1,720.34.
Indeks utama itu dibuka menokok 4.13 mata kepada 1,724.47, malah mencecah 1,731.79 pada sesi awal pagi.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 599 berbanding 579 manakala 617 kaunter tidak berubah, 953 tidak diniagakan dan 67 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.74 bilion unit bernilai RM3.30 bilion berbanding 3.22 bilion unit bernilai RM3.25 bilion pada Jumaat lepas.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun mencatat keuntungan awal, indeks utama itu sebaliknya susut apabila minat belian terhadap saham bermodal besar kian suram dan menunjukkan kedudukan awal tidak disokong oleh aliran dana institusi yang berterusan.
“Walaupun sektor telekomunikasi menjadi tumpuan selepas Telekom Malaysia mengumumkan semakan menaik terhadap dasar pembayaran dividennya kepada sekurang-kurangnya 75 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti secara suku tahunan, sokongan itu terbukti tidak memadai untuk mengekalkan peningkatan indeks secara keseluruhan.
Penyusutan dagangan intra itu tidak hanya memaparkan pengambilan untung, tetapi lebih kepada keengganan (pelabur) meletakkan kedudukan atau pendedahan dalam saham bermodal besar di tengah-tengah ketidaktentuan luaran yang ketara, katanya.
Mohd Sedek berkata Indeks FBM70 dan FBM Small Cap ditutup lebih tinggi, meneruskan aliran peningkatan dan memberi isyarat kitaran berterusan modal ke dalam segmen saham modal kecil dan sederhana.
Keadaan itu hanya memaparkan dinamik pasaran apabila pelabur secara selektif memperuntukkan semula dana ke arah saham dipacu faktor domestik dan nama lebih besar dengan prospek pendapatan lebih jelas berbanding bertindak keluar daripada pasaran.
“Di peringkat makro, sentimen kekal amat sensitif terhadap sebarang perkembangan geopolitik, terutama berkaitan Selat Hormuz," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya optimis namun berhati-hati memandangkan indeks utama itu terbukti kekal melebihi paras 1,700 dengan tanda-tanda sokongan belian mulai muncul selepas penyusutan baru-baru ini.
“Peningkatan daripada sekitar 1,680 menunjukkan pelabur bersedia untuk mengumpul semula saham ketika harga menurun, tetapi pasaran kini menghampiri zon rintangan sekitar 1,730 dengan kenaikan mungkin lebih perlahan,” katanya.
Thong juga mengunjurkan indeks itu diniagakan dalam julat 1,700–1,740 pada minggu ini.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank rugi enam sen kepada RM11.10, Public Bank turun sembilan sen kepada RM4.72, Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM14.58, CIMB merosot 15 sen kepada RM7.65 dan IHH kehilangan lima sen kepada RM8.77.
Saham paling aktif menyaksikan Luster Industries kekal pada empat sen, Inari Amertron meningkat 24 sen kepada RM2.06, Zetrix AI naik satu sen kepada 87 sen, VS Industry tidak berubah pada 22.5 sen manakala AirAsia X susut satu sen kepada RM1.24
Kaunter paling untung didahului oleh Telekom Malaysia yang melonjak 48 sen kepada RM7.58, diikuti F&N dan Press Metal masing-masing naik 38 sen kepada RM30.68 dan RM8.80 serta Unisem yang meningkat 22 sen kepada RM3.30.
Prestasi sebaliknya iaitu kaunter paling rugi meyaksikan United Plantations merosot 70 sen kepada RM31.62, Hong Leong Bank turun 44 sen kepada RM22.34 dan Hong Leong Financial susut 30 sen kepada RM19.00.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 0.41 mata kepada 12,716.13, Indeks FBMT 100 naik 0.09 mata kepada 12,549.39, Indeks FBM Emas Syariah menokok 73.47 mata kepada 12,660.09, Indeks FBM 70 melonjak 96.64 mata kepada 18,169.07 manakala Indeks FBM ACE meraih 5.70 mata kepada 4,658.02.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 245.90 mata kepada 19,976.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.55 mata kepada 194.91, Indeks Tenaga menambah 1.30 mata kepada 831.61 manakala Indeks Perladangan merosot 10.68 mata kepada 8,834.57.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.32 bilion unit bernilai RM3.01 bilion berbanding 1.80 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Jumaat lepas.
Dagangan waran susut kepada 1.01 bilion unit bernilai RM141.36 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM147.79 juta sebelumnya.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 409.6 juta unit bernilai RM154.98 juta berbanding 396.83 juta unit bernilai RM160.00 juta pada Jumaat.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 286.26 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (735.6 juta), pembinaan (190.24 juta), teknologi (435.62 juta), perkhidmatan kewangan (71.15 juta), hartanah (192.2 juta), perladangan (28.54 juta), amanah pelaburan hartanah (17.08 juta), dana tertutup (28,300), tenaga (136.72 juta), penjagaan kesihatan (73.41 juta), telekomunikasi dan media (86.85 juta), pengangkutan dan logistik (34.52 juta), utiliti (33.83 juta) serta amanah perniagaan (219,100).
Sementara itu, Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada 1 Mei 2026 (Jumaat) bersempena cuti umum Hari Pekerja dan akan beroperasi semula pada 4 Mei 2026.
-- BERNAMA