KANGAR, 28 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa memberikan keutamaan dalam meningkatkan taraf hidup serta kesiapsiagaan anggota keselamatan itu.
Baginda bertitah ini kerana pertahanan negara bukan sahaja bergantung kepada aset moden tetapi juga kesejahteraan fizikal, mental dan ekonomi anggotanya.
"Sistem komunikasi, peralatan dan aset pertahanan untuk kecekapan operasi perlu dinaik taraf secara berterusan, kediaman yang kondusif bagi anggota dan keluarga mesti disediakan, serta elaun bagi menjamin kebajikan ekonomi warga ATM wajar disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa," titah baginda.
Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah menghadap Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di Arau semalam yang dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan warga ATM supaya sentiasa melindungi dan mempertahankan setiap inci kedaulatan wilayah negara daripada sebarang ancaman.
Sementara itu, majlis menghadap itu mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara institusi Diraja Perlis dengan kepimpinan tertinggi ATM khususnya dalam memperkukuh aspek kestabilan negara serta bagi mendepani cabaran keselamatan semasa serta masa hadapan.
Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Kolonel Yang DiPertua Kor Rejimen Renjer DiRaja dan Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia merupakan alumni Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom (1964-1965).
Pada majlis itu baginda turut berkongsi pengalaman peribadi pahit getir perjuangan semasa bertugas sebagai seorang pegawai tentera ketika negara mengharungi peperangan menentang komunis, penempatan di barisan hadapan kawasan tumpuan konflik ketika konfrantasi serta peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
-- BERNAMA