KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia bekerjasama dengan China melancarkan Kad Budaya Digital, satu inisiatif pemasaran pelancongan yang menggabungkan elemen budaya, pelancongan dan perdagangan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pelancaran itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) dan NQ Cultural Commercial Sdn Bhd (NQCC) dalam format dua bandar melibatkan Kuala Lumpur dan Beijing, China, dengan sambungan interaktif masa nyata antara kedua-dua lokasi.
Presiden MiTDA Mahadzir Mansor berkata inisiatif itu berfungsi sebagai alat pemasaran digital bagi menarik pelancong China ke Malaysia melalui sistem mata ganjaran dan diskaun.
“Pelancong dari China akan mengumpul mata ganjaran melalui pembelian sebelum menebusnya dalam bentuk diskaun apabila melancong ke Malaysia, sekali gus menggalakkan mereka berbelanja lebih dan tinggal lebih lama.
“Inisiatif itu dijangka meningkatkan ekonomi pelbagai sektor termasuk hotel, produk dan perusahaan tempatan,” katanya selepas pelancaran Kad Budaya Digital di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.
Mahadzir berkata setakat ini kira-kira 1,000 pengguna di China telah mendaftar dalam tempoh sejam, mencerminkan potensi tinggi inisiatif berkenaan dalam menarik minat pasaran negara itu.
Dalam pada itu, Pengarah Teknikal NQCC You Li berkata kad berkenaan menggabungkan fungsi digital dan fizikal bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
“Kad digital bertindak menarik minat pengguna di platform dalam talian manakala kad fizikal melengkapkan pengalaman pelancongan di lokasi sebenar.
“Pelancong berpotensi mengenali destinasi, budaya serta produk tempatan lebih awal melalui platform itu, sekali gus meningkatkan kecenderungan untuk memilih Malaysia sebagai destinasi percutian,” katanya.
-- BERNAMA