MUAR, 29 April (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian RM610,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mangsa berusia 49 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan tersebut di laman Facebook sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata sebaik ditawarkan pulangan tinggi sehingga 750 peratus mangsa membuat transaksi ke beberapa akaun bank berbeza bermula 1 April lepas dan diberitahu bahawa urusan pelaburan diuruskan sepenuhnya oleh broker.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan yang diperoleh. Dia kemudian membuat laporan semalam bagi tuntutan insurans kerugian yang dialami.
“Justeru polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA