AM

TVET MARA Bukti Kejayaan Transformasi, Kebolehpasaran Graduan Lepasi 98 Peratus

03/05/2026 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei -- Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melebihi 98 peratus membuktikan keberkesanan kerjasama strategik dengan industri dalam memastikan latihan diberikan relevan serta memenuhi keperluan pasaran kerja.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian itu adalah hasil transformasi pendidikan kemahiran melalui penjenamaan semula TVET MARA yang menekankan standard latihan selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

“Ini bukan sekadar perubahan nama tetapi satu anjakan besar dalam memastikan kandungan, standard dan kualiti latihan benar-benar memenuhi keperluan industri dan ekonomi masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Persada MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata aspirasi kerajaan bukan sekadar melahirkan graduan pencari kerja, malah membentuk generasi yang mampu berdaya saing, berupaya memimpin serta mencipta peluang.

“Kita mesti melahirkan teknousahawan dan pencipta peluang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

“Saya menyeru rakan industri untuk terus bersama-sama membuka ruang, membimbing dan melatih generasi ini agar mereka bukan sahaja bersedia untuk masa depan tetapi mampu menguasai masa depan itu sendiri," katanya.

Beliau berkata hala tuju MARA perlu diperkukuh dengan beralih daripada sebuah institusi yang hanya membuka peluang kepada ekosistem membina kekuatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut memuji kecemerlangan institusi pendidikan MARA, khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terus mendominasi kedudukan teratas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Beliau berkata model MRSM Ulul Albab berjaya melahirkan 221 pelajar huffaz 30 juzuk yang memperoleh keputusan semua A, sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam bidang sains dan pengajian al-Quran mampu digerakkan seiring.

“Kita mahu membentuk pemimpin masa depan yang berilmu, bersahsiah tinggi dan mampu memimpin negara dengan hikmah dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552429