AM

DBKL Manfaat RM90 Juta Caj Pembangunan Bagi Projek Infrastruktur Trafik

30/04/2026 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memanfaatkan dana caj pembangunan berjumlah kira-kira RM90 juta untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di ibu negara menerusi pelaksanaan tiga projek infrastruktur berimpak tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif di bawah Projek Trafik Lancar dilaksanakan di lokasi kritikal dalam Parlimen Segambut, Seputeh dan Wangsa Maju yang dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan.

Di Segambut, beliau berkata projek yang dilaksanakan ialah pembinaan jalan dan terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link) manakala di Seputeh melibatkan projek menaik taraf susur keluar dari Lebuhraya Pantai Baru (NPE) ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Hannah berkata di Wangsa Maju, projek itu melibatkan menaik taraf persimpangan Jalan 7/24 dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) (Wangsa Melawati).

“Projek ini memberi tumpuan kepada penyelesaian kesesakan utama yang menjejaskan pergerakan harian warga kota,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

-- LAGI

 

HANNAH-TRAFIK 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Hannah berkata pendekatan baharu dalam pengurusan caj pembangunan itu membuktikan komitmen DBKL untuk memastikan setiap pembangunan baharu turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti sekitar, khususnya dari segi jaringan jalan raya, sistem perparitan, kemudahan awam dan penyuraian trafik.

“Tiga projek ini mencerminkan pendekatan baharu DBKL yang meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya.

“DBKL komited memastikan infrastruktur berkembang seiring dengan pembangunan demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Hannah berkata DBKL akan memastikan pemantauan rapi dilaksanakan sepanjang tempoh projek supaya kemajuan mengikut jadual dan kualiti kerja terjamin.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551389