AM

FAMA Laksana Intervensi Pasaran, Stabilkan Harga Cili Merah Di Pulau Pinang

01/05/2026 12:19 PM

GEORGE TOWN, 1 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil tindakan proaktif bagi menstabilkan harga cili merah, susulan penurunan ketara harga ladang di Pulau Pinang sejak awal tahun ini, bagi melindungi pendapatan petani serta memastikan kestabilan bekalan di pasaran.

FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan penurunan harga itu, berpunca daripada lebihan penawaran disebabkan oleh peningkatan hasil tuaian pada peringkat tempatan, berikutan cuaca kering yang menggalakkan pengeluaran cili, sekali gus memberi tekanan kepada harga pada peringkat ladang dan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

“Selaras dengan mandat untuk menstabilkan pasaran, FAMA Negeri Pulau Pinang melaksanakan beberapa langkah intervensi utama, termasuk meningkatkan pembelian terus dari ladang bagi komoditi terpilih seperti cili merah daripada 1 tan kepada 2 tan sehari.

“Pelaksanaan Program Kontrak Pemasaran (RPKP) melibatkan petani di kawasan utama seperti TKPM Ara Kuda, Perda Veggie Park dan Kepala Batas, bagi menyelaras bekalan dan mengurangkan pengaruh orang tengah,” menurut kenyataan itu. 

Melalui program intervensi, FAMA secara tidak langsung membantu menstabilkan harga dan menyokong pendapatan petani yang terkesan akibat kejatuhan harga pasaran.

FAMA juga memperluas rangkaian pemasaran melalui Pasar Tani, Jualan Agro MADANI (JAM), Agrobazaar Kedai Rakyat serta jualan khas mingguan, yang akan bermula di KOMTAR pada 8 Mei.

Sehingga 28 April, sebanyak 99.675 metrik tan hasil termasuk cili merah telah dibeli melalui inisiatif intervensi FAMA, bagi mengimbangi bekalan dan permintaan pasaran.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata intervensi yang dilaksanakan itu, susulan arahan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membantu petani yang terkesan akibat penurunan harga, di samping memastikan kelangsungan bekalan domestik kekal stabil.

Beliau berkata FAMA akan terus memperkukuh jaringan pemasaran, memperluas belian terus dari ladang, serta menyediakan platform jualan yang memberi nilai terbaik kepada semua pihak dalam rantaian bekalan agromakanan.

Selain itu, FAMA bersama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang akan mengadakan sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawan Negeri Datuk Rashidi Zinol pada 5 Mei, bagi membincangkan isu ladang dan sokongan berterusan kepada pengusaha tempatan.

“Dalam menangani ketidaktentuan harga komoditi, FAMA akan memanjangkan usaha intervensi ini ke negeri lain dan memberikan komitmen untuk terus memainkan peranan strategik sebagai pengimbang pasaran melalui pelaksanaan intervensi yang bersasar, berimpak tinggi dan responsif terhadap situasi semasa. 

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu petani, malah memastikan kestabilan bekalan serta harga yang lebih adil kepada pengguna,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551636