DUNIA

Hanoi, Ho Chi Minh City Antara 100 Bandar Paling Sesuai Diterokai Dengan Berjalan Kaki

01/05/2026 03:52 PM

HANOI, 1 Mei (Bernama-VNA) -- Hanoi dan Ho Chi Minh City disenaraikan antara 100 bandar paling menarik di dunia untuk diterokai dengan berjalan kaki pada 2026, menurut penarafan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh platform pelancongan GuruWalk, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Senarai itu turut menampilkan Hoi An di Da Nang, sekali gus menyerlahkan daya tarikan Vietnam yang semakin meningkat sebagai destinasi pengalaman pelancongan berjalan kaki yang mengasyikkan.

Kedudukan itu menilai destinasi berdasarkan kesesuaian untuk berjalan kaki, kepadatan tarikan, kemudahan dan pengalaman keseluruhan pengunjung yang gemar meneroka bandar dengan berjalan kaki.

Hanoi dan Ho Chi Minh City diiktiraf kerana ciri bandar yang tersendiri, lokasi mercu tanda yang berdekatan serta suasana jalanan yang meriah.

Senarai tahun ini masih didominasi bandar terkenal di Eropah, dengan Rom menduduki tempat pertama. 

Ibu negara Itali itu menonjol kerana tumpuan tapak warisannya yang tinggi seperti Colosseum, Trevi Fountain dan Pantheon, yang semuanya mudah diterokai dalam satu laluan berjalan kaki.

Ia diikuti Madrid, Budapest dan Prague, yang terkenal dengan pusat bandar yang padat serta susun atur mesra pejalan kaki.

Selain Eropah, senarai itu turut merangkumi bandar utama di Asia dan benua Amerika seperti Tokyo, Kyoto dan New York City.

Kehadiran Hanoi dan Ho Chi Minh City dalam senarai berkenaan menyerlahkan peningkatan daya tarikan destinasi bandar Asia Tenggara dalam peta pelancongan global.

Pakar berkata kekuatan Hanoi terletak pada Old Quarter, dengan rangkaian jalan sempit yang padat, tapak budaya dan ruang tradisional yang sesuai untuk berjalan santai sambil meneroka bandar.

Sementara itu, Ho Chi Minh City menarik pengunjung dengan rentak kotanya yang dinamik, gabungan seni bina bersejarah dan moden serta budaya makanan jalanan yang kaya.

Penyenaraian dua bandar terbesar Vietnam itu bukan sahaja mencerminkan potensi pelancongan bandar berkenaan, malah menonjolkan perubahan lebih luas ke arah trend pelancongan mampan yang mengutamakan perjalanan lebih perlahan, mesra alam dan berasaskan pengalaman.

Senarai GuruWalk dianggap sebagai rujukan berguna kepada pelancong antarabangsa, khususnya mereka yang mahu mengenali budaya tempatan melalui aktiviti berjalan kaki, iaitu pendekatan yang lebih menjimatkan kos dan memberi pemahaman lebih mendalam tentang kehidupan harian.

-- BERNAMA-VNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551745