KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu, termasuk memperkemas fungsi MARA sebagai payung besar ekonomi Bumiputera serta pusat sehenti pembangunan, menerusi penyelarasan pelbagai agensi dan dasar berkaitan.
Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada aspek tadbir urus, bagi memastikan agensi Bumiputera itu bukan sahaja lantang menyuarakan kepentingan, tetapi lebih tegas dalam melaksanakan tatakelola yang baik.
“Dalam tempoh 60 tahun, ada pasang surutnya. Ada masa isu tatakelola itu dianggap paling bobrok dan lemah. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada pengerusi MARA yang memberi perhatian terhadap isu tatakelola.
“Maka saya anggap Akta MARA yang baharu perlu disiapkan sebelum akhir tahun. Saya tidak perlu tunggu lama. Tidak perlu ambil masa tujuh hingga lapan bulan…beri draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman.
Perdana Menteri berkata pindaan akta itu, selaras dengan satu daripada tujuh tujahan dalam Gagasan 40 Tahun MARA, yang dirangka sebagai pelan memastikan institusi itu muncul sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.
Beliau berkata tujahan pertama, memfokuskan kepada usaha menjadikan MARA sebagai konglomerat berjaya yang berteraskan pendidikan dan keusahawanan.
“Kedua, menekankan pendekatan 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera, supaya menjadi tonggak yang lebih kukuh kepada kekuatan ekonomi Bumiputera.
“Ketiga ialah sumbangan dalam melahirkan bakat termasuk tenaga kerja mahir dan separa mahir, selaras dengan perubahan keperluan semasa terutama sektor seperti minyak dan gas serta teknologi seperti kecerdasan buatan (AI),” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata tujahan keempat memfokuskan modal pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk berkembang ke peringkat global termasuk bidang halal, manakala tujahan kelima dan keenam memastikan MARA menjadi pusat sehenti pendidikan, pelaburan dan keusahawanan selain menerobos ke pasaran antarabangsa.
“Dan terakhir (ketujuh) soal tatakelola, integriti dan ketelusan tadbir urus seperti yang kita tegaskan selama ini,” katanya.
-- BERNAMA