TOKYO, 3 Mei (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Ahad sekali lagi memberi isyarat hasratnya untuk meneruskan pindaan Perlembagaan, sambil menegaskan bahawa undang-undang tertinggi pascaperang yang menjadi asas negara itu “perlu dikemas kini secara berkala selaras dengan tuntutan semasa.”
Kyodo News melaporkan Takaichi berkata demikian ketika menyampaikan mesej video kepada perhimpunan penyokong pindaan Perlembagaan sempena Hari Memorial Perlembagaan.
Takaichi berikrar untuk menjelaskan cadangan pindaan secara teliti kepada orang ramai, sambil menambah bahawa parti pemerintahnya, Parti Liberal Demokratik, akan “memajukan perbincangan di Diet (parlimen) bagi mencapai keputusan dengan mendapatkan kerjasama parti lain.”
Tinjauan Kyodo News baru-baru ini menunjukkan 73 peratus rakyat Jepun menuntut agar konsensus luas merentasi parti politik diberi keutamaan sebelum melaksanakan pindaan Perlembagaan.
“Perbincangan tidak boleh sekadar untuk tujuan perbincangan semata-mata. Apa yang perlu dilakukan ahli politik bagi memenuhi kepercayaan rakyat ialah perbincangan yang bertujuan membuat keputusan,” kata Takaichi.
Takaichi, yang dikenali sebagai tokoh konservatif berhaluan keras, sedang berusaha membawa perubahan kepada Perlembagaan buat kali pertama sejak ia berkuat kuasa selepas Perang Dunia Kedua.
Antara perkara yang berkemungkinan dipinda ialah Perkara 9 yang menolak perang, yang dilihat sebagai teras pendirian pasifis Jepun selepas perang.
-- BERNAMA-KYODO