JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-Kanak Dihanyutkan Arus Deras Ditemukan Lemas Di Sungai Langat

03/05/2026 03:46 PM

KAJANG, 3 Mei (Bernama) -- Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas, ditemukan lemas di Sungai Langat berdekatan Jalan Reko, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang yang juga komander operasi Izman Adnan berkata Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum ditemukan kira-kira 10.6 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membuat pencarian di kawasan itu pada 12.17 tengah hari. Proses pengesahan identiti telah dilakukan ibu bapa kanak-kanak itu pada 1.20 tengah hari tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Izman berkata mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang.

Operasi SAR hari ketiga pagi ini diperluas meliputi radius sejauh 29 km termasuk di Sungai Long dan Sungai Langat menghala ke Putrajaya.

Beliau berkata pasukan SAR berhadapan kekangan akses laluan masuk ke Sungai Long.

Pada Jumaat lepas, Nur Qaseh Deandra dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang semasa bermain bersama-sama rakannya di kawasan pangsapuri di situ.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552284