JERTIH, 3 Mei (Bernama) -- Seorang warga emas maut, manakala beberapa lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kampung Anak Ikan, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahman berkata mangsa Munah Awang, 76, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Besut pada 4.30 pagi.
“Siasatan awal polis mendapati van jenis Toyota Hiace itu, dinaiki sembilan penumpang berusia 12 hingga 60 tahun dengan dipandu seorang lelaki. Mereka ketika itu dalam perjalanan dari Perak menuju ke Kampung Alor, Setiu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok. Akibat kemalangan itu beberapa penumpang mengalami cedera ringan dan seorang wanita warga emas mengalami cedera parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
-- BERNAMA