JOHOR BAHRU, 4 Mei (Bernama) -- Sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga China sejak tiga bulan lepas dipercayai mampu meraih keuntungan sehingga RM900,000 sebulan dengan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan, berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Rabu lepas.
Dalam serbuan di sebuah apartmen mewah di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, JIM Johor menahan lapan individu warga asing terdiri daripada dua lelaki warga China berusia antara 35 hingga 38 tahun, seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun serta lima wanita warga Thailand berusia lingkungan 33 hingga 38 tahun.
Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kejayaan ‘Ops Serkap’ pada 29 April lepas itu hasil risikan selama seminggu oleh pihaknya susulan maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini mampu meraih keuntungan lumayan mencecah RM900,000 sebulan. Mereka menjadikan kediaman terbabit sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan lepas dan menyasarkan pemain dari Thailand serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Modus operandi sindiket melibatkan pemain yang menghubungi operator melalui telefon bimbit bagi urusan transaksi wang ke akaun bank negara berkenaan, manakala operator di premis ini bertanggungjawab memasukkan mata ke dalam setiap ID pemain,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Menurut Mohd Rusdi dalam serbuan itu pihaknya turut merampas wang tunai RM2,500, tujuh unit komputer, 34 telefon pintar pelbagai jenama serta sebuah mesin pencetak yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.
Beliau berkata suspek lelaki berusia 38 tahun yang ditahan dipercayai bertindak sebagai dalang utama sindiket, manakala suspek lain berperanan sebagai operator bagi menguruskan transaksi serta pertaruhan.
Kesemua suspek kini ditahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kes masih dalam proses siasatan serta tindakan lanjut pendakwaan.
-- BERNAMA