EKONOMI

Standard Chartered Malaysia Lantik Mushahid Syed Sebagai CEO Interim, Ketua Liputan Malaysia

04/05/2026 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Standard Chartered Malaysia melantik Mushahid Syed sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) interim dan ketua liputan bagi Malaysia berkuat kuasa 8 Mei, 2026 bagi menggantikan Mak Joon Nien yang akan beralih ke kerjaya baharu.

Bank itu menyatakan bahawa Mushahid akan memikul tanggungjawab tersebut sebagai tambahan kepada jawatan sedia adanya iaitu ketua pegawai kewangan (CFO) di Malaysia.

"Mushahid akan menggalas kepimpinan keseluruhan bagi francais Malaysia dan akan terus bekerjasama rapat dengan pasukan liputan perbankan korporat serta pelaburan bagi menyediakan kepimpinan dan kesinambungan di seluruh perniagaan.

"Pengumuman mengenai pengganti tetap akan dibuat dalam masa terdekat," menurut bank berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Standard Chartered memaklumkan bahawa Mushahid mempunyai lebih 20 tahun pengalaman kepimpinan dalam memacu pengoptimuman lembaran imbangan, kecekapan kos dan modal serta peningkatan perolehan.

Beliau menyertai Standard Chartered pada 2013 dan menjadi ahli teras pasukan pengurusan negara serta jawatankuasa eksekutif sejak menyandang jawatan CFO Malaysia pada 2024 selain beliau membantu memacu prestasi dan strategi perniagaan.

Sementara itu, Standard Chartered menyatakan Mak akan melepaskan jawatannya selepas hampir 30 tahun berkhidmat dengan bank berkenaan.

"Mak juga akan melepaskan jawatannya dalam Lembaga Pengarah Standard Chartered Malaysia Bhd dan Standard Chartered Saadiq Bhd serta peranan lembaga pengarah yang lain di seluruh entiti gabungan Standard Chartered," jelas bank tersebut.

Bank itu memaklumkan Mak menyertai Standard Chartered pada 1997 sebagai pelatih siswazah di Malaysia, menghabiskan masa selama 15 tahun dalam peranan serantau di Singapura sebelum kembali ke Malaysia dan kemudiannya menjadi CEO Malaysia pertama yang dilahirkan serta dibimbing secara tempatan oleh bank berkenaan.

"Sepanjang empat tahun yang lepas, beliau meningkatkan profil francais tersebut secara ketara, memperkukuh hubungan dengan pelanggan utama serta pemegang taruh dan memacu perniagaan selaras dengan strategi perbankan korporat dan pelaburan global serta perbankan kekayaan dan runcit bank berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552740