KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd melantik Azizan Jaafar sebagai ketua pegawai eksekutifnya (CEO) berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat pelaburan impak yang disokong kerajaan itu menyatakan Azizan merupakan seorang pemimpin korporat dengan hampir tiga dekad pengalaman dalam kewangan korporat, pelaburan dan kepimpinan strategik merentasi sektor swasta serta organisasi berkaitan kerajaan.
Menurut VentureTECH, beliau membawa kepakaran yang kukuh dalam penstrukturan pelaburan, pengurusan modal dan penciptaan nilai.
“Pelantikan Azizan mengukuhkan tumpuan berterusan VentureTECH dalam memperkasa peranannya sebagai pelabur pemangkin bagi memajukan penyertaan bumiputera dalam sektor-sektor ini.
"Sebagai CEO, Azizan akan menerajui hala tuju strategik VentureTECH dengan tumpuan untuk meningkatkan prestasi portfolio, memperkukuh inisiatif penciptaan nilai serta memajukan pembangunan syarikat yang diterajui bumiputera," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
VentureTECH memaklumkan kepimpinan Azizan akan menyokong lagi mandat syarikat dalam membina keupayaan nasional yang kritikal selain menyumbang kepada ekosistem teknologi dan inovasi Malaysia.
Sebelum menyertai VentureTECH, Azizan berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan dan strategi kumpulan di Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd serta beliau menyelia bahagian kewangan, strategi korporat selain fungsi sokongan utama merentasi portfolio yang pelbagai.
Ini termasuk sektor tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan, perladangan dan hartanah.
Sementara itu, Pengerusi VentureTECH Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim berkata latar belakang kewangan dan strategik Azizan yang kukuh akan menjadi instrumen penting dalam memajukan mandat syarikat bagi membangunkan syarikat teraju bumiputera yang kompetitif dalam sektor pertumbuhan tinggi serta bernilai tinggi.
Ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), VentureTECH kini menyokong lebih daripada 30 syarikat pelaburan merentasi sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi dengan penilaian portfolio melebihi RM2.5 bilion selain penciptaan lebih 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
"VentureTECH kekal memberi tumpuan pada mandatnya untuk memangkin pertumbuhan syarikat dalam sektor seperti bioteknologi, teknologi hijau dan teknologi baru muncul, seiring dengan aspirasi nasional termasuk Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35)," tambahnya.
-- BERNAMA