KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan mempersembahkan konsert istimewa Charles Yang Reloaded, menampilkan pemain biola pemenang Anugerah Grammy, Charles Yang, di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 Mei ini.
MPO dalam satu kenyataan hari ini berkata konsert yang dijadualkan bermula pada 8 malam itu akan dipimpin oleh konduktor residen Gerard Salonga dan menjanjikan pengalaman muzik bertenaga tinggi yang menggabungkan teknik klasik dengan genre kontemporari.
“Persembahan ini akan menampilkan gaya unik Yang, menggabungkan biola klasik dengan elemen pop, blues dan rock, sekali gus menawarkan pengalaman ‘crossover’ yang segar kepada penonton,” menurut kenyataan itu.
Menurut MPO, Yang, penerima Anugerah Leonard Bernstein, digambarkan sebagai pemuzik yang membawa karisma bintang rock ke dalam persembahan muzik klasik.
“Beliau pernah membuat persembahan di festival berprestij seperti Schleswig-Holstein Music Festival, Aspen Music Festival dan Ravinia Festival, serta bekerjasama dengan artis terkenal termasuk Joshua Bell, Steve Miller dan Jon Batiste.”
Yang juga adalah ahli trio Time For Three yang memenangi Anugerah Grammy menerusi album Letters for the Future.
Menurut kenyataan itu lagi, Yang bersama-sama dengan pemain piano Peter Dugan akan mempersembahkan program pelbagai yang menampilkan susunan “crossover” klasik bagi karya-karya terkenal.
“Repertoir termasuk Somewhere Over The Rainbow daripada The Wizard of Oz, Oblivion karya Astor Piazzolla, Hotel California oleh Eagles dan Blackbird oleh Paul McCartney,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, beliau juga akan mempersembahkan lagu-lagu popular Michael Jackson sepertiThriller dan Billie Jean yang diolah semula melalui interpretasi “crossover” klasik.
Yang juga dijangka menonjolkan kebolehan vokalnya dalam beberapa karya terpilih, antaranya Fly Me To The Moon oleh Frank Sinatra, lagu tradisional House of the Rising Sun, A Change Is Gonna Come oleh Sam Cooke serta Streets of Berlin, sebuah gubahan asli beliau.
-- BERNAMA