POLITIK

MIC, MCA Sokong Langkah BN Tanding Semua Kerusi Pada PRN Johor

16/05/2026 09:14 PM

JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC Johor menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan gabungan politik itu untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon berkata keputusan yang diumumkan Pengerusi BN negeri merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini adalah langkah berani, tepat dan berpandangan jauh demi memastikan BN terus menerajui Johor dengan stabil.

“MCA menyokong sepenuhnya pengumuman yang dibuat oleh Onn Hafiz, dan akan bekerja habis-habisan bagi memastikan BN terus diberi mandat untuk mentadbir negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Beliau berkata sejak BN membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga pada 2022, Johor di bawah kepimpinan Onn Hafiz telah mencatat prestasi ekonomi cemerlang hasil kestabilan politik yang dinikmati.

Pengerusi MIC Johor K. Raven Kumar pula berkata keputusan BN untuk bergerak atas kekuatan sendiri bukan soal ego politik sebaliknya demi memastikan kestabilan kerajaan negeri dan kesinambungan agenda pembangunan rakyat.

Beliau berkata MIC percaya Johor tidak memerlukan percaturan politik yang boleh mewujudkan ketidaktentuan pentadbiran atau mengganggu fokus terhadap pembangunan negeri.

“Johor perlu terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, berpengalaman dan memahami aspirasi Bangsa Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557985