SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) -- Sabah akan mengkaji cadangan menghidupkan semula perdagangan pertukaran barang atau barter trade di antara negeri itu dengan Selatan Filipina, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau mengakui menerima banyak cadangan mengenai perkara itu namun berkata kajian terperinci perlu dibuat sebelum barter trade dilaksanakan kerana banyak aspek perlu diambil kira.
“Antara yang perlu dilihat ialah berkaitan aspek keselamatan dan kebaikan aktiviti itu kepada peniaga serta ekonomi Sabah.
“Kita akan bincang perkara ini nanti dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keselamatan di lokasi pelancongan melibatkan tiga pulau iaitu Bakungan Kecil, Selingan dan Lankayan di sini.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Musa menyarankan agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan perniagaan pertukaran barang sebagai langkah merancakkan ekonomi Sandakan yang dilihat semakin suram.
Hazem berkata pendekatan itu berpotensi menarik pelabur dan menghidupkan semula ekonomi setempat sekali gus memberi limpahan manfaat kepada Negeri di Bawah Bayu.
-- BERNAMA