POLITIK

UMNO, PH Setuju Kekalkan Kerjasama Kerajaan Perpaduan Di Negeri Sembilan

05/05/2026 09:14 PM

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung hari ini mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan majlis juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti serta membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH.

“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PH itu dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, pertemuan kira-kira sejam yang bermula pada 5.15 petang itu dihadiri pimpinan tertinggi UMNO dan PH termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, dua Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

--  BERNAMA 



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553261