KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun depan bakal mengangkat tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti bagi memperkasa peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
Beliau berkata pemilihan tema tersebut atau dalam bahasa Inggeris 'Media Integrity Strengthens Credibility' adalah selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan kualiti penyampaian maklumat dan kepercayaan rakyat terhadap institusi media terus diperkukuh.
"Logo rasmi HAWANA 2026 pula menampilkan elemen ikonik Jambatan Pulau Pinang sebagai simbol identiti negeri tuan rumah yang kaya dengan sejarah, warisan serta kemodenan.
"Secara keseluruhan, logo ini menggambarkan aspirasi HAWANA sebagai wadah penyatuan utama buat warga media dan masyarakat dalam menyokong pembangunan negara yang inklusif serta mampan," katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak serta Ketua Pengarah RTM Ashwad Ismail.
Mengulas mengenai pengisian sambutan, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata program akan dimulakan lebih awal menerusi penganjuran Forum Media di Kuala Lumpur, esok bagi membincangkan cabaran semasa industri oleh pengamal dan industri media.
Katanya pelbagai aktiviti menarik dirancang sepanjang acara kemuncak di Pulau Pinang bagi memastikan keterlibatan menyeluruh pengamal media dalam dan luar negara.
Antara pengisian HAWANA 2026 ialah Pesta Pantun HAWANA-DBP pada 9 Mei, Majlis Bersama Rakan Strategik (4 Jun), Fun Walk HAWANA (14 Jun), Mai RIUH@HAWANA (19-21 Jun), Sukan HAWANA (Julai hingga Oktober) serta Jelajah HAWANA bersama Siswa (Julai hingga Oktober).
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam membantu membentuk minda masyarakat serta menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.
Sambutan HAWANA kali ini merupakan tahun keenam penganjuran dengan sambutan tahun lepas diadakan di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA