CHUKAI, 6 Mei (Bernama) -- Kira-kira 200 nelayan di Sungai Kemasik dekat sini meminta pihak berkaitan, terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya mendalamkan muara sungai ini yang semakin cetek sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Seorang nelayan, Mohd Raffi Yusoff, 58, berkata kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Kemasik pernah dilaksanakan JPS dua tahun lepas, namun masalah itu kembali sejak kebelakangan ini, dipercayai berpunca daripada fenomena air pasang besar.
“Selain segera mengorek semula muara sungai, kami juga meminta pihak berwajib untuk mencari penyelesaian jangka panjang.
“Fenomena air pasang besar menyebabkan berlakunya mendapan dan muara sungai kembali cetek. Kini masalah yang sama kembali berlaku sehingga menyebabkan kami sukar turun ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Mohd Raffi berkata keadaan muara yang cetek menyebabkan dia dan rakan-rakan lain terpaksa menolak bot ke kawasan lebih dalam terlebih dahulu sebelum menghidupkan enjin, keadaan ini sekali gus menyukarkan golongan nelayan yang berusia kerana tidak berupaya menolak bot mereka.
Dalam pada itu, seorang lagi nelayan, Ayob Endut, 53, berkata dia terpaksa melabuhkan bot kelas C miliknya di Jeti Kuala Kertih, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari muara Sungai Kemasik berikutan masalah air cetek.
“Bot saya tidak dapat memasuki muara Sungai Kemasik selagi kerja-kerja mendalamkan muara sungai itu tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik Sabarino Mat Hassan berkata pada bulan lepas pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada JPS bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan, dan berharap tindakan segera dapat diambil.
“Nelayan di kawasan ini turut meminta JPS menjalankan kajian terperinci bagi mengelakkan masalah mendapan di muara itu daripada terus berulang,” katanya.
-- BERNAMA