AM

Spesies Enggang Terancam Ditemukan Di Hutan Simpan Kekal Melaka - JPSM

06/05/2026 05:20 PM

MELAKA, 6 Mei (Bernama) -- Burung enggang badak atau Rhinoceros hornbill yang berstatus haiwan terancam ditemukan di Hutan Simpan Kekal (HSK) di Melaka hasil ekspedisi saintifik tahun lepas, kata Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim.

Beliau berkata tiga spesies burung berstatus hampir terancam, iaitu kunyit bakau (Aegithina viridissima), daun kecil (Chloropsis cyanopogon) dan kekicau ekor pendek (Pellorneum malaccense) pula ditemukan di HSK di Pulau Pinang.

Zahari berkata kesemua penemuan itu direkodkan menerusi lima ekspedisi saintifik di tiga HSK di Melaka dan dua di Pulau Pinang yang disertai saintis, penyelidik, agensi kerajaan, institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Selain itu, spesies flora endemik Schismatoglottis cordifolia dan spesies liana Embelia canescens var. glabrescens yang berstatus terancam ditemukan dalam kawasan HSK di Melaka dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Dr Aldrich Richard.

Zahari berkata penyelidik turut menemukan spesies liana yang jarang ditemukan, iaitu Dinochloa sipitangensis di HSK di Melaka dan taburan spesies ini pernah direkodkan di Johor dan Borneo sahaja.

Beliau berkata spesies pokok pulai jenis endemik iaitu Alstonia penangiana juga ditemukan dalam kawasan HSK Pulau Pinang dan spesies tersebut unik serta hanya dijumpai di satu kawasan geografi tertentu sahaja secara semula jadi.

"Penemuan spesies-spesies ini membuktikan keadaan persekitaran HSK di Melaka dan Pulau Pinang masih dalam keadaan baik serta berupaya menyokong kemandirian dan taburan spesies biodiversiti walaupun keluasan hutan di kedua-dua negeri ini terhad.

"Penemuan spesies endemik, spesies nadir serta spesies terancam melalui ekspedisi ini membuktikan bahawa kawasan HSK negara berfungsi sebagai refugia biodiversiti yang amat kritikal," katanya.

Beliau berkata dapatan saintifik berkenaan bukan hanya data penyelidikan, tetapi merupakan asas penting dalam proses membuat keputusan khususnya untuk diintegrasikan ke dalam Rancangan Pengurusan Hutan bagi memastikan prinsip pengurusan hutan secara berkekalan terus diperkukuh.

Dalam pada itu, katanya JPSM telah mengenal pasti sebanyak 44 plot dalam ekspedisi yang telah diadakan sebelum ini di HSK di Melaka dan Pulau Pinang yang mempunyai spesies-spesies yang jarang dijumpai di kawasan lain.

Beliau berkata plot berkenaan akan ditandakan sebagai kawasan hutan simpan yang tidak boleh diceroboh mana-mana pihak.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553595