KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Hujan lebat sejak 4 petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami banjir kilat sehingga menghalang aliran lalu lintas.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat di Kilometer 48.0 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah Kinrara ke Awan Besar sehingga menyebabkan trafik sesak sejauh empat kilometer sejak 4.27 petang tadi.
Beliau memaklumkan kejadian banjir kilat turut dilaporkan di Kuchai Link ke Lebuhraya Pantai Baru dan KM18.9 arah Maju Jaya menyebabkan aliran trafik perlahan dan satu lorong dinaiki air.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat di kawasan medan selera Jalan 51a/223 Seksyen 51A, Petaling Jaya pada 4.15 petang tadi.
“Banjir kilat di kawasan medan selera itu dianggarkan 121 sentimeter dan terdapat beberapa kenderaan tenggelam di kawasan tempat letak kereta.
“Tiada pemindahan dilakukan dan paras air semakin surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sebuah video berdurasi 12 saat yang tular di laman sosial turut memaparkan situasi air bertakung dipercayai di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.
Selain itu, banjir kilat turut dilaporkan di kawasan Bukit Jalil ke Kinrara, Puchong sehingga menyebabkan aliran trafik perlahan di kawasan terbabit.
Turut dilaporkan banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan di kawasan Petaling Jaya yang juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Di kawasan Desa Tun Razak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) turut dilaporkan sesak susulan banjir kilat dan air bertakung di kawasan berkenaan.
Sementara itu, terdapat pokok tumbang di lokasi selepas stesen minyak Petron menghala ke Desa Petaling arah selatan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban yang menyebabkan dua lorong terhalang dan aliran trafik perlahan.
New Pantai Expressway Sdn Bhd dalam kenyataan malam ini menyebut kejadian banjir kilat berlaku di Jalan Kuchai Lama menghala ke Jalan Klang Lama, di luar sempadan penyenggaraan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
“Bagaimanapun, menerusi pemantauan yang dijalankan pihak operator NPE, peronda NPE telah membantu membuat kawalan lalu lintas di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa banjir telah surut sepenuhnya pada 4.47 petang dan laluan berkenaan dibuka semula untuk semua kenderaan.
-- BERNAMA