JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai RM3.95 Juta Di Bukit Mertajam

07/05/2026 03:48 PM

BUTTERWORTH, 7 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai dianggar bernilai RM3.95 juta dalam dua serbuan di premis yang dijadikan stor simpanan di Tasek Gelugor dan Teluk Wang, Bukit Mertajam, akhir bulan lepas. 

Pemangku Pengarah JKDM negeri Ramizah Bee Salleh Ghany berkata menerusi serbuan pada 24 April, pihaknya merampas 130,800 batang rokok putih dan kretek serta 63,647.30 liter minuman keras pelbagai jenama dianggar bernilai RM3.68 juta termasuk cukai.

“Serbuan di sebuah gudang tidak berpenghuni di Mukim 19, Telok Wang Bukit Mertajam pada 12.40 tengah hari itu dilakukan selepas JKDM bertindak atas maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan berkenaan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan pemantauan dan risikan selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan dengan kesemua barangan tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ramizah Bee berkata dalam serbuan di sebuah kedai di Tasek Gelugor pada 11 pagi, 22 April lepas, pihaknya merampas 242,640 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM263,233.08 termasuk cukai.

Beliau berkata kesemua barang larangan itu disorokkan di dalam tandas serta di bawah timbunan kotak terpakai di dalam premis berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Seorang lelaki tempatan berusia akhir 30-an disyaki pemilik premis telah ditahan dan siasatan mendapati kesemua rokok serta minuman keras itu untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553960