JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Dua Pusat Operasi Pertaruhan Piala Dunia FIFA 2026

28/06/2026 10:50 PM

GEORGE TOWN , 28 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua pusat operasi yang menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026 dalam dua serbuan di Gelugor dan Butterworth serta menahan sembilan individu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata serbuan itu merupakan sebahagian daripada Ops Soga XI yang dilaksanakan bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini, bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak di seluruh negeri.

"Dalam serbuan pertama pada 26 Jun di sebuah unit kondominium di Gelugor, di sini, polis menahan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing yang kesemuanya berumur  29 hingga 44 tahun.

"Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis tersebut sebagai pusat operasi bagi menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit dan pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk  kegiatan itu.

Lim berkata serbuan kedua dijalankan di sebuah unit kondominium di Marminton Homes, Butterworth semalam, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 27 hingga 41 tahun dan sindiket itu mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia melalui laman sesawang Nova88 dengan menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat operasi.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan premis kediaman sebagai calling centre untuk mengurus akaun pelanggan, menerima dan menyelia pertaruhan bola sepak secara dalam talian serta memberi khidmat sokongan kepada pelanggan menggunakan komputer dan telefon yang disambungkan kepada platform perjudian.

"Dalam serbuan itu kami merampas enam komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem Internet serta pelbagai peralatan komputer yang digunakan dalam kegiatan pertaruhan tersebut," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman hingga 1 Julai bagi membantu siasatan dan kes disiasat itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, sepanjang Ops Soga XI, Polis Pulau Pinang telah menjalankan 21 serbuan dan menahan 28 individu serta merampas wang tunai berjumlah RM8,935 bersama pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

"Polis Pulau Pinang akan terus mempergiat Ops Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada pengesanan calling centre, ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal atau dalam talian," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574216