EKONOMI

Pavilion REIT Catat Keuntungan Bersih Lebih Tinggi Sebanyak RM105.8 Juta

07/05/2026 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM105.8 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2026 daripada RM90.4 juta yang disaksikan dalam suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan juga meningkat kepada RM245.9 juta daripada RM228.2 juta, kata Pavilion REIT melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil yang lebih tinggi ini telah disumbangkan terutamanya oleh pendapatan sewa daripada Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur termasuk prestasi yang lebih kukuh daripada Pavilion Bukit Jalil.

“Pavilion REIT mencatatkan jumlah hasil kasar RM245.9 juta pada suku pertama, naik RM17.7 juta atau lapan peratus berbanding RM228.2 juta pada suku yang sama tahun sebelum ini,” katanya. 

Pavilion REIT mengekalkan kadar penghunian yang kukuh dan peningkatan hasil pengiklanan daripada skrin diod pemancar cahaya (LED) yang dinaik taraf di Elite Pavilion Mall turut menyumbang kepada peningkatan ini.

Perbelanjaan operasi hartanah bertambah pada suku tersebut berikutan lonjakan dalam kos penyelenggaraan, terkait dengan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan yang berterusan merentasi aset tertentu, walaupun ia terus mencatatkan margin operasi yang lebih mantap melalui kecekapan operasi serta kawalan kos yang agak ketat.

Pavilion REIT ketika mengulas mengenai prospek berkata permintaan domestik dijangka terus menyokong pertumbuhan sederhana, walaupun ketidaktentuan yang timbul daripada konflik Asia Barat yang berterusan berkemungkinan menjejaskan keyakinan perbelanjaan pengguna dan rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd Datuk Philip Ho melalui satu kenyataan memberitahu prestasi berterusan Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil mencerminkan daya tahan aset utama Pavilion REIT termasuk keupayaan mereka untuk mengambil peluang ke atas permintaan berkaitan pengguna serta pelancongan yang berterusan.

“Walaupun kami sentiasa prihatin terhadap tekanan kos luaran dan persekitaran global yang belum ada penghujung, Pavilion REIT telah berjaya mengemudi pelbagai kitaran pasaran sejak berapa tahun ini, dan kami terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi, penyusunan penyewa selain mengekalkan daya saing aset kami,” katanya.

Ho berkata, aset utama Pavilion REIT dijangka terus mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan, disokong oleh trend penggunaan domestik termasuk lokasinya dalam kawasan utama di Kuala Lumpur.

Kempen pelancongan yang sentiasa berjalan, acara kebudayaan dan aktiviti awam dijangka terus menyokong trafik pengunjung serta aktiviti runcit, khususnya di Pavilion Kuala Lumpur di Bukit Bintang, katanya lagi.

 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554195