KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Usahasama KJTS Group Bhd, Lestari Cooling Energy Sdn Bhd, telah mengaktifkan platform operasinya melalui pelaburan sulungnya dalam aset operasi milik KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT).
Lestari, merupakan syarikat usaha sama antara Stonepeak, firma pelaburan alternatif dari New York, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan KJ Technical Services Sdn Bhd, anak syarikat KJTS, telah memeterai perjanjian perkhidmatan penyejukan selama 20 tahun meliputi lapan tapak KIPMall, dengan jumlah penggunaan modal kira-kira RM23 juta.
KJTS melalui satu kenyataan hari ini berkata pelaburan itu menandakan penggunaan pertamanya ke dalam aset operasi sejak penubuhan platform itu, dengan perjanjian itu meliputi KIPMall Bangi, KIPMall Tampoi, KIPMall Masai, KIPMall Kota Tinggi, KIPMall Kota Warisan, KIPMall Senawang, KIPMall Melaka dan KIPMall Desa Coalfields
“Suntikan ini secara langsung akan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia dengan membolehkan kecekapan tenaga pada skala merentasi sektor hartanah komersial,” kata syarikat itu.
Pelaburan KWAP di Lestari adalah sejajar dengan program GEAR-uP Kementerian Kewangan (MoF), yang bertujuan untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak tinggi sambil membolehkan syarikat Malaysia berkembang.
“Pelaburan ini juga disalurkan melalui Dana Iklim+ KWAP, yang menyokong penyelesaian iklim serta pelaburan sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” kata KJTS.
Pengarah Lestari Azura Azman berkata urus niaga itu mewujudkan platform operasi syarikat, dengan asas awal aset penjanaan pendapatan dan kapasiti tambahan dijangka akan mula mengalir.
“Fokus kami adalah untuk melabur dengan berdisiplin dalam infrastruktur penyejukan berkualiti tinggi selain membina portfolio yang memberikan aliran tunai yang stabil dan berulang sambil memajukan kecekapan tenaga termasuk hasil kemampanan yang lebih luas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT Valerie Ong berkata rakan kongsi jangka panjang adalah penting dalam menyokong kecekapan operasi, kebolehpercayaan dan kemampanan pusat membeli-belah kumpulan itu.
“Pengaturan ini akan mengukuhkan lagi infrastruktur yang menyokong aset runcit sambil memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk penyewa dan pembeli kami, yang akan terus menikmati pengalaman kualiti yang sama di seluruh tapak KIPMall kami,” katanya.
Pengarah Urusan KJTS Lee Kok Choon berkata sistem penyejukan yang dipasang di lapan tapak mewakili 3,910 tan penyejukan kapasiti pendinginan.
“Novasi ini membolehkan kumpulan menumpukan pada kejuruteraan, pembinaan dan operasi sistem penyejukan cekap tenaga, manakala Lestari menjalankan peranan pemilikan aset serta penggunaan modal,” katanya lagi.
-- BERNAMA