PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Menjelang Laporan NFP AS

08/05/2026 08:05 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives  ditutup rendah pada Jumaat apabila pasaran kekal berhati-hati sebelum laporan penggajian bukan perladangan (NFP) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pelabur bimbang data penggajian yang lebih kukuh boleh meningkatkan hasil Perbendaharaan AS dan menjejaskan harga emas.

“Naratif potensi gencatan senjata antara AS dan Iran terus mengekang dorongan risiko tenaga secara keseluruhan, yang turut mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, Mei 2026 susut kepada US$4,743.70 seauns troy daripada US$4,762.30 pada Khamis, manakala Jun 2026 turun kepada US$4,757.70 seauns troy daripada US$4,776.30.

Julai 2026, Ogos 2026 dan Oktober 2026 masing-masing ditutup rendah pada US$4,772.70 seauns troy berbanding US$4,791.30 sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 11 lot daripada tiga lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka naik sedikit kepada 68 kontrak daripada 64 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,743.35 seauns troy semasa penetapan pada petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 7 Mei, 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554666