KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu, yang berkuat kuasa serta-merta.
Antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang juga Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar Dzowahir Ab Ghani, ADUN Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hulu Langat Muhammad Faiz Rahmad.
Lima Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian bagi dua penggal pemilihan parti, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Selain itu, Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor, ADUN Kuala Sepetang Ahmad Man dan ADUN Chenderoh Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.
Tindakan itu dibuat kerana mereka didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Lembaga Disiplin Bersatu turut mengeluarkan notis amaran kepada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim, Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan dan Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan.
Sementara itu, Nordin ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima surat penggantungan keahlian daripada Bersatu.
“Ya, betul, sah (terima surat penggantungan)... sebab menyertai program orang yang sudah kena pecat,” katanya merujuk program ‘Reset’ anjuran bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata kesemua pemimpin terlibat mungkin mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi menyelaras tindakan susulan sebelum memutuskan untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari seperti yang dibenarkan oleh parti.
Abdul Khalib, yang sebelum ini ditamatkan khidmat sebagai Ketua Bersatu Pahang, pula memaklumkan bahawa notis penggantungan keahlian itu diterima sekitar 6 petang tadi menerusi aplikasi WhatsApp.
Khlir, yang turut mengesahkan menerima notis itu, reda dengan keputusan tersebut.
-- BERNAMA