JENAYAH & MAHKAMAH

Penyu Karah Ditemukan Mati Terdampar, Dipercayai Tersangkut Jaring

09/05/2026 06:41 PM

MELAKA 9 Mei (Bernama) -- Seekor penyu spesies karah ditemukan mati terdampar oleh orang awam di pesisir Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah kira-kira 3.30 petang semalam.

Pengarah Perikanan Melaka Saufi Affandi Talib berkata penyu itu dikenal pasti sebagai penyu karah (Eretmochelys imbricata), iaitu antara spesies penyu marin yang dikategorikan sebagai terancam kritikal.

Beliau berkata penyu jantan itu dianggarkan berumur antara 10 hingga 15 tahun berdasarkan saiz karapas dengan ukuran 80 sentimeter panjang dan 72 sentimeter lebar.

“Hasil pemeriksaan mendapati penyu berkenaan tidak mempunyai tag pengenalan dan dipercayai mati akibat tersangkut pada jaring. Keadaan bangkai juga menunjukkan sebahagian karapas telah tercabut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota Jabatan Perikanan Melaka mengambil tindakan segera bagi menguruskan bangkai penyu itu.

“Proses penanaman bangkai penyu selesai dijalankan pada 3.45 petang di lokasi penemuan pada hari yang sama bagi mengelakkan pencemaran serta menjaga kebersihan kawasan pantai,” katanya.

Saufi Affandi berkata penyu karah adalah spesies yang dilindungi dan diklasifikasikan sebagai terancam secara kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar berikutan ancaman kepupusan yang semakin serius disebabkan cangkerangnya yang sering menjadi sasaran perdagangan haram untuk dijadikan barangan perhiasan. 

Beliau berkata masyarakat diharap tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penangkapan atau perdagangan spesies terancam itu, yang turut dilarang di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554996