AM

ProtectHealth Di Landasan Tepat Laksana Garis Panduan DRG Tahun Depan

15/05/2026 07:21 PM

CYBERJAYA, 15 Mei (Bernama) -- ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) berada di landasan tepat untuk melaksanakan garis panduan penetapan harga berasaskan Diagnosis-Related Group (DRG) di bawah Pelan Asas Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) menjelang Januari tahun depan, selepas lebih 100 hospital swasta menyerahkan data bagi sistem berkenaan sejak Februari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata data diterima daripada hospital yang mengambil bahagian sedang dianalisis bersama pakar teknikal dari Kementerian Kesihatan (KKM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan bagi membangunkan rangka kerja awal penetapan harga DRG sebelum pelaksanaakn projek rintis pada suku ketiga tahun ini.

“Kami menjangkakan versi awal siap sebelum pelaksanaan projek rintis dan akan terus melakukan penambahbaikan menjelang pelancaran di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sesi taklimat media di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan harga DRG itu bertujuan meningkatkan ketelusan caj hospital, di samping mengelakkan kejutan kos kepada hospital dan pesakit menerusi pendekatan pelaksanaan secara berfasa.

Menurut Wan Mohd Hazwan, agenda reformasi penjagaan kesihatan kerajaan termasuk pelaksanaan mekanisme harga berasaskan DRG serta peluasan kerjasama antara sektor kesihatan awam dan swasta, tidak terjejas meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan inflasi kos kesihatan di seluruh dunia.

Beliau berkata sistem penjagaan kesihatan dwisektor Malaysia kekal berdaya tahan dan usaha mengoptimumkan sumber kesihatan awam serta swasta amat penting bagi memastikan rakyat di negara ini terus menerima rawatan tepat pada masanya dan mampu milik, khususnya ketika kos perubatan global dan premium insurans terus meningkat.

“Kami menyedari persekitaran penjagaan kesihatan global kekal mencabar dengan peningkatan inflasi perubatan serta ketidaktentuan ekonomi, namun fokus kami adalah memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan mampu milik melalui kerjasama lebih kukuh antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Program Strategik ProtectHealth Dr Gan Saw Chien berkata Malaysia sudah memiliki keupayaan asas yang kukuh dalam pelaksanaan DRG, memandangkan KKM telah menggunakan sistem pengekodan perubatan yang berkait dengan DRG sejak lebih sedekad lepas.

Beliau berkata rangka kerja DRG di bawah MHIT akan diguna pakai bagi kes pesakit dalam hospital dan berbeza daripada Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital yang ketika ini menggunakan model pembayaran berasingan berasaskan kes untuk prosedur elektif.

“Mekanisme pengelompokan adalah berbeza. Program penyumberluaran hospital menggunakan kriteria yang telah ditetapkan manakala DRG menggunakan sistem klasifikasi berstruktur bagi kes rawatan pesakit dalam,” katanya.

Pada Januari lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata BNM akan memperkukuh keperluan kawal selia bagi semua produk MHIT susulan pengenalan Pelan Asas yang diseragamkan, bertujuan meningkatkan perlindungan pengguna serta memastikan kemampanan premium untuk jangka panjang.

MHIT yang ditawarkan secara sukarela, dijadual dilaksanakan secara rintis pada separuh kedua tahun ini, manakala pelaksanaan penuh disasarkan pada awal 2027.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557561