ALOR GAJAH, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memperluas inisiatif kemasukan percuma ke lokasi pelancongan terpilih kepada semua pesara badan beruniform sempena sambutan hari peringatan jabatan masing-masing di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu turut diberikan kepada anggota bomba yang masih berkhidmat bermula 5 Mei hingga 5 Jun ini sempena Hari Bomba Sedunia 2026.
“Anggota bomba dan pesara hanya perlu menunjukkan kad perkhidmatan atau pengenalan berkaitan untuk menikmati kemasukan percuma ke lokasi pelancongan di bawah kerajaan negeri, manakala ahli keluarga yang dibawa bersama akan menikmati diskaun 50 peratus.
“Ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa ‘Wira Merah’ yang sentiasa berada di hadapan ketika berlaku kebakaran, kemalangan, banjir dan pelbagai bencana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sekalung Budi Pesara Bomba sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat Parlimen Masjid Tanah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Zaidi Ma’at.
Ab Rauf berkata peranan anggota bomba tidak seharusnya dilihat hanya tertumpu kepada operasi memadam kebakaran semata-mata, sebaliknya mereka turut memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat dan pengurusan bencana.
Beliau berkata berdasarkan statistik JBPM Melaka, sebanyak 5,162 operasi kes kecemasan direkodkan di negeri itu sepanjang tahun lepas, dengan 1,594 daripadanya melibatkan kes kebakaran.
“Apa yang membanggakan, statistik ini menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan keberkesanan tindakan pencegahan, kesiapsiagaan pasukan bomba serta peningkatan kesedaran masyarakat.
“Ketika rakyat berdepan musibah dan malapetaka, harapan mereka sangat tinggi kepada anggota bomba. Sebab itu jasa dan pengorbanan mereka perlu terus dihargai,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata sepanjang hampir tiga tahun pentadbirannya, pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi memperkukuh keperluan serta kebajikan pasukan bomba di Melaka.
Katanya antara inisiatif yang dilaksanakan ialah sumbangan 11 unit gergaji berantai bernilai lebih RM32,000 untuk kegunaan balai bomba di seluruh negeri.
“Selain itu, lebih RM44,000 turut disalurkan bagi pelaksanaan program sokongan, kebajikan serta pengukuhan kesiapsiagaan pasukan bomba,” katanya.
-- BERNAMA