JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Tercampak Dalam Longkang Selepas Dirempuh Kenderaan

13/05/2026 10:31 AM

SHAH ALAM, 13 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan sehingga tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Kapar, Batu 5, Klang awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu daripada orang awam pada 3.23 pagi.

“Sebanyak tujuh pegawai dan anggota berserta satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar digegaskan ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa yang berusia lingkungan 30-an,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata anggota bomba mengangkat lelaki itu dengan menggunakan pengusung dan dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556251