SUKAN

Konflik Asia Barat: Pulau Pinang Yakin Anjur Sukan SEA 2027

14/05/2026 11:53 AM

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang optimis mampu menganjurkan enam jenis sukan pada Sukan SEA 2027 meskipun berdepan keadaan ekonomi semasa yang mencabar susulan konflik di Asia Barat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata peruntukan RM15 juta daripada kerajaan negeri perlu diurus secara berhemat memandangkan jumlah itu agak terhad berbanding jumlah keseluruhan perlu dibiayai Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 peringkat Pulau Pinang.

“Pada awalnya ketika Pulau Pinang bersetuju menjadi sebahagian daripada penganjuran Sukan SEA 2027, peruntukan RM15 juta yang disediakan hanya untuk acara snuker dan biliard tetapi apabila berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita dapati peruntukan itu mampu menganjurkan enam sukan termasuk ping pong, judo, tinju, sepak takraw dan floorball.

”Namun, ini sebelum berlaku krisis Asia Barat, jadi suntikan dana tambahan antara RM5 juta ke RM10 juta daripada sektor swasta dan awam berupaya menyerap lebihan perbelanjaan yang dijangka berlaku dalam tempoh 15 bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini ketika menjawab pertanyaan Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) sama ada peruntukan RM15 juta oleh kerajaan negeri mencukupi bagi penganjuran enam sukan pada Sukan SEA 2027 berikutan dunia kini bergelut dengan krisis ekonomi yang mencabar akibat konflik di Asia Barat.

Gooi berkata peningkatan suntikan tambahan itu melibatkan kos utama seperti penginapan, pengangkutan logistik, pengurusan dan pentadbiran, urusan teknikal, perolehan peralatan sukan dan lain-lain perbelanjaan di luar jangkaan bagi penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 Sept akan melibatkan empat kluster utama di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556755