DUNIA

Setiausaha Kesihatan UK Letak Jawatan, Tekanan Terhadap Starmer Semakin Memuncak

15/05/2026 08:17 AM

LONDON, 15 Mei (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK) Wes Streeting meletak jawatan pada oKhamis ketika tekanan semakin memuncak terhadap Perdana Menteri Britain Keir Starmer supaya berundur susulan kekalahan dalam pilihan raya tempatan minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam surat peletakan jawatannya, Streeting berkata beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Starmer.

“Ketika kita memerlukan visi, kita berdepan kekosongan. Ketika kita memerlukan hala tuju, kita berdepan keadaan yang terumbang-ambing.

 “Kini jelas bahawa anda tidak akan memimpin Parti Buruh menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam surat yang dimuat naik di platform X.

Streeting berkata apa yang bakal berlaku selepas ini perlu menjadi “pertarungan idea”, yang menurutnya perlu bersifat terbuka serta menampilkan calon terbaik.

Sementara itu, akhbar Britain, The Guardian yang memetik sumber melaporkan Streeting mempunyai sokongan mencukupi untuk mencabar Starmer, namun beliau masih berharap perdana menteri itu akan meletak jawatan secara sukarela.

Sumber yang rapat dengan Streeting berkata beliau mempunyai jumlah sokongan yang diperlukan, namun “keadaan sedang berubah.”

Bagaimanapun, sekutu beliau berkata Streeting masih berharap dapat mengelakkan tindakan mencabar Starmer secara langsung, ketika semakin ramai anggota Parlimen secara tertutup menggesa perdana menteri itu berundur atau menetapkan garis masa untuk pengundurannya.

Secara berasingan, beberapa menteri Kabinet memberitahu The Guardian bahawa laporan mereka merancang untuk mendesak Starmer berundur pada petang Khamis adalah tidak benar, sambil menuduh penyokong Streeting cuba “mewujudkan gambaran peletakan jawatan.”

Perkembangan itu menyusuli laporan bahawa Streeting sedang bersiap sedia mencabar kepimpinan Starmer, yang kini berdepan tekanan daripada puluhan anggota Parlimen yang menggesa beliau meletak jawatan.

Susulan peletakan jawatan Streeting, Starmer melantik James Murray sebagai setiausaha kesihatan baharu.

Murray, 42, ialah anggota Parlimen daripada Parti Buruh dan Co-operative, iaitu wakil rakyat Parti Buruh yang turut mendapat sokongan Co-operative Party.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557163