JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Lelaki Warga Indonesia Didakwa Seludup 69 Warga Asing

14/05/2026 12:18 PM

MANJUNG, 14 Mei (Bernama) -- Tiga lelaki warga Indonesia yang juga penjaga rumah penampungan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan 69 migran warga Indonesia dan Bangladesh.

Fuadi Zahrul, 21, Sandria Muhammad Feri, 23, dan Adriansyah Saril, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didapati menjalankan penyeludupan 67 migran warga Indonesia dan dua rakyat Bangladesh di sebuah rumah di Taman Alamanda Presint 2, Bandar Baru Segari, Lumut dalam daerah Manjung antara 3 hingga 7 pagi pada 18 April lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556779