KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai tindakan undang-undang serta jumlah ganti rugi yang akan dituntut daripada syarikat pembekal susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal (NSM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan itu dibuat memandangkan kerajaan telah menjelaskan hampir 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak yang mencecah lebih RM500 juta.
"Jawatankuasa khas peringkat kementerian telah ditubuhkan untuk memperincikan tuntutan yang bukan sekadar melibatkan pemulangan bayaran asal, tetapi juga ganti rugi akibat pelanggaran kontrak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program PROWIRA Ready-to-Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian sedang membuat perkiraan bagi menuntut semula bayaran yang telah dibuat selain kerugian lain yang timbul akibat pembatalan kontrak berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kementerian turut menilai beberapa alternatif bagi menggantikan sistem NSM berkenaan.
Satu jawatankuasa lain turut ditubuhkan bagi meneliti pilihan sistem yang sesuai serta boleh dibekalkan dalam tempoh segera.
Bagaimanapun, beliau berkata proses itu bukan mudah kerana sistem peluru berpandu perlu serasi dengan sistem komunikasi, elektrik dan operasi sedia ada pada kapal.
Mohamed Khaled berkata proses integrasi sistem baharu itu dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Bagaimanapun, pembatalan pembekalan NSM itu tidak menjejaskan jadual penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama, KD Maharajalela, kepada Tentera Laut Diraja Malaysia pada Disember ini.
"Program LCS tetap diteruskan, cuma kapal itu tidak akan dilengkapi dengan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan pada peringkat awal," katanya.
Menurut laman web Kongsberg Defence & Aerospace, kontrak perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan syarikat itu pada April 2018 dengan nilai 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
-- BERNAMA