SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Seramai 26 pekerja warga Indonesia dikesan menggunakan MyKad milik individu lain dan dokumen pengenalan diri palsu dalam Ops Pandan yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di dua gudang pakaian di Jalan U1/20, Glenmarie, di sini, hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN Mazhad Abdul Aziz berkata tangkapan membabitkan 20 wanita dan enam lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun itu dibuat hasil pemeriksaan menyeluruh terhadap 134 individu di dua premis berkenaan yang melibatkan pejabat dan gudang.
“Daripada jumlah yang diperiksa, 108 adalah warganegara Malaysia manakala 26 individu lagi dipercayai warga Indonesia yang didapati memiliki kad pengenalan palsu bagi tujuan bekerja di cawangan syarikat pakaian terbabit.
“Kesemua mereka dibawa ke JPN Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan itu.
Mazhad berkata siasatan awal mendapati syarikat pakaian terbabit menggaji pekerja berkenaan dengan bayaran harian sekitar RM70 yang dibayar secara tunai atau menerusi pindahan ke akaun bank.
Katanya, pemeriksaan fizikal MyKad menggunakan alat Unit Terminal Mudah Alih (MTU) melalui semakan cap jari berjaya mengesahkan tiada rekod wujud bagi pemegang dokumen terbabit walaupun secara fizikal dokumen itu kelihatan tulen dan menyerupai MyKad asli dari segi warna.
“Penggunaan alat MTU amat membantu kerana ia memudahkan pihak kami mengesan ketidaksahihan maklumat dengan pantas melalui padanan biometrik.
“Ada dalam kalangan mereka membeli dokumen haram itu dan ada juga yang meminjam daripada pihak lain, namun kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan dokumen terbabit,” katanya.
Beliau berkata bagi kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan melaksanakan pendakwaan di mahkamah, manakala tindakan susulan membabitkan majikan atau pasport tamat tempoh akan dikendalikan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Operasi bermula 10.30 pagi itu melibatkan 59 anggota penguat kuasa dari JPN Putrajaya, Selangor dan Melaka dengan kerjasama JTK serta JIM.
-- BERNAMA