AM

Krisis Bekalan Tenaga: Harga Ubat Stabil Tahun Ini - Dzulkefly

14/05/2026 06:03 PM

SERI ISKANDAR, 14 Mei (Bernama) -- Harga ubat-ubatan kekal stabil untuk tahun ini susulan keputusan syarikat pengeluar menyerap kos pengeluaran termasuk kos logistik berikutan kenaikan kos bahan api.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu membolehkan harga ubat kekal pada julat harga stabil dengan kenaikan pada satu sehingga dua peratus jika ada.

“Di samping mengekalkan bekalan, kita juga mahu memastikan harga terkawal. Terima kasih kepada pihak farmaseutikal dan Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) yang menghasilkan ubat generik kerana setakat ini mereka telah menyerap peningkatan kos logistik akibat kenaikan harga bahan api.

“Harga ubat-ubatan kekal stabil dan jika ada kenaikan pun, ia sekitar satu ke dua peratus sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Hospital Seri Iskandar hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian itu.

Hadir sama ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Dzulkefly berkata kerajaan juga telah mengadakan memorandum persefahaman dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan bahan mentah seperti produk petrokimia, resin, polimer dan lain-lain untuk kegunaan peranti perubatan serta Active Pharmaceutical Ingredient (API) bagi mempelbagaikan sumber bekalan tersebut.

Sementara itu, berhubung empat kes disyaki leptospirosis atau kencing tikus di Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Negeri Sembilan, Dzulkefly berkata seorang pesakit yang menerima rawatan di hospital pada 7 Mei telah dibenarkan keluar pada 11 Mei.

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan semalam mengesahkan kes itu dengan tiga individu menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang dimasukkan ke hospital. 

Berhubung dakwaan seorang bayi lelaki berusia 13 hari patah tulang paha ketika menerima rawatan akibat jaundis di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah, Dzulkefly berkata kementerian sedang menunggu laporan siasatan kes itu.

“Kita mahu tahu punca sebenar masalah itu secara adil dan bertanggungjawab. Siasatan biasanya melibatkan polis dan juga secara dalaman oleh pengarah hospital terlibat,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada bapa bayi itu pada Isnin lepas, mendakwa anaknya mengalami patah tulang paha ketika menerima rawatan di sebuah hospital di daerah itu baru-baru ini.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556966