KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan dua remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata laporan kehilangan Nur Amani Damia Roslan diterima semalam pada 3.54 petang daripada bapanya selepas remaja itu dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 17 Mac lepas.
Beliau berkata remaja berkenaan mempunyai ketinggian 150 sentimeter (cm), berat 60 kilogram (kg) dan kali terakhir dilihat memakai baju serta seluar berwarna gelap.
Mohd Hafiz berkata polis juga giat mengesan seorang lagi remaja Angel Ho Kha Suen yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Ahad lepas.
“Laporan mengenai kehilangan remaja itu diterima daripada ibunya pada 12.44 tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Angel mempunyai ketinggian 152 cm dengan berat 49 kg dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna hitam berlambang serta seluar panjang biru gelap.
Mohd Hafiz berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua remaja itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-949 5707.
-- BERNAMA