AM

PERKESO Perlis Rekod Peningkatan Pendaftaran Caruman Pekerja Sendiri

15/05/2026 03:19 PM

KANGAR, 15 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis merekodkan peningkatan pendaftaran caruman pekerja sendiri tahun ini, menunjukkan kesedaran semakin tinggi terhadap kepentingan perlindungan sosial termasuk oleh pekerja ekonomi gig.  

Pengarah PERKESO Perlis Ahmad Firdaus Hashim berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 2,214 individu bekerja sendiri membuat caruman berbanding jumlah keseluruhan 5,044 orang tahun lepas yang melibatkan 20 sektor pekerjaan sendiri di negeri itu.

“Trend ini menunjukkan kesedaran masyarakat, khususnya pekerja ekonomi gig semakin meningkat tentang kepentingan perlindungan sosial dan caruman PERKESO,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Firdaus berkata integrasi data antara penyedia platform dan PERKESO amat penting bagi memastikan caruman secara automatik menggunakan aplikasi digital selain pekerja gig dapat dikenal pasti untuk menerima bantuan dengan cepat jika berlaku kemalangan ketika bekerja.

“Kita mahu kebajikan pekerja ini terus terpelihara kerana mereka mempunyai keluarga dan tanggungan. Jika berlaku musibah, sekurang-kurangnya ada perlindungan yang boleh membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Ahmad Firdaus berkata kadar caruman bagi pekerja gig hanya 1.25 peratus daripada pendapatan harian dengan anggaran RM157.20 setahun yang bergantung kepada jumlah hari bekerja.

“Kalau pendapatan RM100 sehari, caruman hanya RM1.25 untuk hari itu tetapi manfaat perlindungannya sangat besar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557365