BEIRUT, 14 Mei (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu walaupun perjanjian gencatan senjata dikuat kuasa, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, lapor Xinhua.
UNICEF turut memberi amaran mengenai kesan fizikal dan psikologi yang semakin buruk terhadap kanak-kanak yang terselamat.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terbunuh manakala 93 cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, menjadikan angka korban kanak-kanak sejak 2 Mac kepada 200 manakala 806 cedera.
Pada Rabu sahaja, sekurang-kurangnya 33 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh susulan peningkatan serangan Israel di selatan dan tengah Lubnan, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dan media tempatan.
“Kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain bersama rakan-rakan dan pulih daripada ketakutan serta pergolakan selama berbulan-bulan,” kata Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder.
Beigbeder berkata walaupun perjanjian itu bertujuan menghentikan keganasan, kanak-kanak masih terus menjadi mangsa trauma dan serangan berulang yang boleh memberi kesan sepanjang hayat.
UNICEF turut memberi amaran bahawa lebih 770,000 kanak-kanak di Lubnan mengalami tekanan psikologi yang semakin meningkat akibat pendedahan berulang kepada keganasan, pemindahan dan kehilangan.
Gejala yang dialami kanak-kanak serta penjaga termasuk ketakutan, keresahan, mimpi buruk, insomnia dan putus asa.
-- BERNAMA-XINHUA