KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah intervensi segera bagi mengelakkan lebih banyak projek perumahan berstatus sakit dan terbengkalai, susulan peningkatan kos pembinaan hingga 30 peratus akibat krisis rantaian bekalan global.
Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata krisis tidak dijangka itu memberikan kesan langsung kepada industri perumahan negara yang melibatkan lebih 200 rantaian pembekalan bahan binaan bernilai berbilion ringgit.
"Dari segi peningkatan kos, dalam kita mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan ia meningkat antara 20 hingga 40 peratus, dan puratanya berlaku 30 peratus peningkatan kos," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, di sini malam tadi.
Beliau berkata bagi menangani isu itu, Pasukan Petugas Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai Swasta (TFST) KPKT yang diwujudkan sejak 2023 kini giat mencari penyelesaian, memandangkan terdapat 99 projek perumahan terbengkalai berskala besar direkodkan setakat ini.
"Kita kenal pasti projek sakit dan terbengkalai ini untuk kita buat mitigasi. Kita cari jalan penyelesaian, kita cari white knight (firma wira) untuk menyelamatkan projek tersebut dan beri mudah cara sehinggalah Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan," katanya.
Noor Azman berkata KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut meneliti permohonan pelanjutan tempoh pelaksanaan projek oleh pemaju yang benar-benar terkesan.
Setiap permohonan dinilai mengikut kes bagi memastikan kelewatan projek berpunca daripada krisis semasa dan bukannya disebabkan pengurusan pemaju sejak awal.
Sementara itu, menyentuh usaha membantu kelangsungan ekonomi peniaga kecil, beliau berkata KPKT menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menurunkan kadar sewaan premis perniagaan di bawah seliaan masing-masing.
Ketetapan itu dibuat selepas kementerian membentangkan cadangan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata setakat ini beberapa negeri dan wilayah telah mengambil langkah proaktif menyahut seruan itu, antaranya Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.
“Krisis yang berlaku bukan sahaja menjejaskan sektor perumahan, malah peniaga kecil turut terkesan. Kita tidak menetapkan kadar pengurangan tertentu, sebaliknya menyerahkan kepada PBT di negeri untuk menentukannya bagi mengurangkan beban penjaja.
“Ini satu strategi kementerian untuk meringankan beban peniaga kecil, dan kita mahu negeri-negeri lain turut serta dalam usaha kita mengurangkan sedikit tekanan (krisis) ini,” katanya.
-- BERNAMA