EKONOMI

Inflasi Keseluruhan Suku Pertama Naik Kepada 1.6 Peratus, Inflasi Teras Susut Kepada 2.1 Peratus

15/05/2026 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada suku pertama 2026 (S1 2026) daripada 1.3 peratus pada suku keempat 2025, manakala inflasi teras susut sedikit kepada 2.1 peratus berbanding 2.3 peratus sebelumnya, kata Bank Negara Malaysia (BNM). 

Menurut bank pusat itu, inflasi keseluruhan yang lebih tinggi itu mencerminkan kesan awal pindahan tekanan kos global yang lebih tinggi, sebahagiannya disebabkan oleh konflik di Asia Barat. 

“Caj elektrik dan harga bahan api terutamanya RON97 dan diesel yang meningkat sepanjang suku tersebut, menyebabkan penurunan yang lebih perlahan bagi inflasi elektrik (-6 peratus; S4 2025: -10.3 peratus) dan inflasi bahan api (-1.5 peratus; S4 2025: -1.9 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, BNM berkata peningkatan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih rendah, terutamanya mencerminkan inflasi yang lebih sederhana bagi makanan di luar rumah (2.4 peratus; S4 2025: 2.8 peratus) dan inflasi sewaan (1.6 peratus; S4 2025: 1.9 peratus).

“Tahap rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, terus susut kepada 38.3 peratus pada suku pertama (S4 2025: 39.6 peratus), jauh di bawah purata suku pertama yang pernah dicatatkan iaitu sebanyak 52.2 peratus,” tambahnya. 

Mengenai prospek inflasi bagi tahun ini, BNM menyatakan bahawa inflasi keseluruhan diunjurkan pada purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus tahun ini. 

“Berikutan konflik Asia Barat, inflasi dijangka meningkat sedikit disebabkan oleh peningkatan harga tenaga global dan harga komoditi utama lain, pada amnya selaras dengan jangkaan. 

“Dengan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan, langkah dasar sedia ada, termasuk subsidi bahan api bersasar dan langkah pengurangan lain, dijangka membantu mengehadkan kesan limpahan jangka pendek kepada inflasi yang lebih meluas,” katanya.

Menurut BNM, tahap dan kadar pindahan kepada harga dalam negeri akibat konflik yang berterusan turut bergantung pada penetapan harga dan keadaan permintaan firma. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557319