PASARAN

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Antara US$4,500 Hingga US$4,600 Minggu Depan

16/05/2026 10:27 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives berkemungkinan berlegar-legar dalam jajaran US$4,500 hingga US$4,600 setiap auns troy pada minggu depan.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh baru-baru ini dijangka mendorong Rizab Persekutuan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat pada tahun ini.

“Ini akan memberikan sokongan kepada dolar AS dan berkemungkinan menjejaskan harga emas,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Mei 2026 menyusut kepada US$4,569.90 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,743.70 setiap auns troy pada minggu sebelumnya manakala kontrak Jun 2026 turun kepada US$4,586.90 setiap auns troy daripada US$4,757.70 setiap auns troy.

Kontrak bagi Julai, Ogos dan Oktober 2026 ditutup lebih rendah pada US$4,600.90 setiap auns troy daripada AS$4,772.70 setiap troy auns pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 75 lot daripada 68 lot manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 94 kontrak daripada 68 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,683.05 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 14 Mei, 2026.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557708