JENAYAH & MAHKAMAH

Beli Produk Rokok Secara Haram Empat Remaja Bawah Umur Dikompaun

15/05/2026 02:38 PM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Empat remaja bawah umur dikenakan kompaun kerana membeli produk rokok secara haram antara Januari hingga Mei tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 13(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh yang sama, seramai 253 remaja bawah umur didakwa di bawah Seksyen 17(1) atas kesalahan merokok atau berkaitan vape, manakala tiga penjual didakwa mengikut Seksyen 13(1) akta sama kerana menjual produk merokok kepada mereka yang di bawah umur.

“Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menunjukkan peningkatan ketara kes dadah berkaitan vape, peningkatan daripada empat kes pada 2023 kepada 14 kes pada 2025.

“Sementara itu, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, nilai rampasan telah melebihi RM700,000,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) mengenai penguatkuasaan terhadap mereka bawah umur dan penjual yang terlibat dalam kesalahan berkaitan vape, serta program intervensi yang dilaksanakan di negeri itu.

Pada tahun lepas sebanyak 34 program intervensi dilaksanakan di seluruh negeri, memfokuskan kepada pencegahan, pendidikan dan kesedaran bagi menghalang penglibatan golongan muda dalam aktiviti vape.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557320