KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia sedang meningkatkan sokongan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM).
Kemudahan itu bertujuan menyediakan bantuan yang disasarkan untuk membantu perniagaan mengukuhkan aliran tunai dan mengekalkan operasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata melalui kemudahan seperti SRF PKS BNM, bank itu berusaha untuk menyalurkan sokongan praktikal tepat pada masanya bagi membantu perniagaan mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan membina daya tahan masa depan.
“Berdasarkan usaha bantuan awal kami, kami tetap fokus untuk menyokong pelanggan dalam setiap langkah semasa mereka mengharungi keadaan pasaran yang semakin berkembang,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan sokongan kewangan tepat pada masanya kepada PKS yang mengalami gangguan dan tekanan kewangan akibat tekanan luar seperti konflik Asia Barat, yang telah menjejaskan aliran hasil serta kestabilan operasi banyak perniagaan.
Di bawah SRF PKS BNM, pelanggan boleh mengakses pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.
Kemudahan ini disokong oleh perlindungan jaminan sama ada daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).
Permohonan itu kini dibuka untuk PKS yang berminat dengan SRF PKS BNM, dan perniagaan yang berminat boleh menghubungi Pengurus Perhubungan UOB atau e-mel kepada businessbanking.servicecentre@uob.com.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA