PASARAN

Data KDNK Kukuh, Ringgit Ditutup Kebanyakannya Meningkat Berbanding Mata Wang Utama

15/05/2026 07:11 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 5.4 peratus dalam suku pertama 2026.

Angka data ekonomi itu jelas mengatasi unjuran awal 5.3 peratus, didorong oleh permintaan domestik, aktiviti pelaburan serta eksport.

Bagaimanapun, unit tempatan itu susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah sokongan berterusan terhadap mata wang negara maju itu selepas bank pusat, Rizab Persekutuan AS (Fed) menyatakan akan mengekalkan pendirian monetari yang ketat.

Pada 6 petang, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.9515/9580 daripada 3.9300/9330, semalam.

Awal hari ini, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia tumbuh 5.4 peratus dengan perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan di tengah-tengah persekitaran pasaran guna tenaga yang menggalakkan dan sokongan dasar yang berterusan manakala aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan jentera dan peralatan, pelaburan struktur serta pelaksanaan projek berbilang tahun.

Menurut bank pusat itu, penggunaan swasta berkembang 4.7 peratus pada suku pertama 2026 manakala pelaburan swasta meningkat 7.8 peratus.

Eksport bersih pula melonjak 13.5 peratus berikutan pertumbuhan eksport yang stabil dan pertumbuhan import yang menyederhana lebih cepat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan kukuh jualan runcit AS sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada April 2026 menunjukkan pihak Fed berkemungkinan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat tahun ini, sekali gus menyokong dolar AS.

“Pertemuan Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping semalam dilihat berlangsung dalam suasana positif, sekali gus menunjukkan hubungan perdagangan kedua-dua negara kekal kondusif pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2749/2835 daripada 5.3094/3135 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5948/6024 daripada 4.6009/6044 pada penutupan Khamis.

Namun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.4927/4968 daripada 2.4886/4907 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0989/1247 daripada 12.1506/1652, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0871/0927 daripada 3.0867/0893, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 224.5/225.0 daripada 224.1/224.4 dan rendah berbanding peso Filipina pada 6.40/6.41 daripada 6.37/6.38.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557553